28 September 2012

BERKAHWINLAH, HINDARI FITNAH


Jika ditanya pandangan sebilangan masyarakat hari ini mengenai 'perkahwinan awal (muda)', pelbagai jawapan serta respons akan kita dapati. Dari jawapan-jawapan yang kita dapati juga kita dapat melihat pemikirannya dikuasai atau telah terdidik dengan sistem Islam ataupun tidak. Ada yang berkata: "Zaman dah berubah!" Kepada mereka ini baiklah dikatakan, kembalilah kepada al-Quran dan as-Sunnah

Zaman hari ini mengajar kita bersandarkan diri kepada tokoh-tokoh pemikir moden yang dilihat sebagai hebat dan disanjung tinggi oleh masyarakat. Hasilnya, kayu ukur yang telah ditetapkan adalah sejauh mana kejayaan seseorang dari sudut material (banyak harta, duit). Inilah yang dikatakan mentaliti yang telah dijajah sekian lama oleh golongan yang mengajak meninggalkan agama. 

 

Kenapa materialistik semata-mata tidak boleh dijadikan ukuran?
Kita melihat dan sering mengeluh melihat ramainya pasangan yang bercerai. Punca utama yang dilihat sebenarnya adalah kerana kurangnya agama. Apabila ia jarang atau kurang mendengar ilmu agama, maka jiwanya gagal dibersihkan serta dibentuk. Ini adalah kerana pembentukan insan yang terbaik adalah melalui didikan agama. 

Suami atau isteri yang benar-benar memahami tanggungjawabnya sebagaimana garis panduan yang telah dibekalkan Al-Quran dan Sunnah, insya Allah akan dapat memandu pasangan tersebut mendapat kejayaan di dalam hubungan rumah tangganya. Saranan-saranan yang lain yang dianjurkan di dalam Al-Quran dan Sunnah seperti mengajak kepada bersabar serta nasihat menasihati turut membantu di dalam menjayakan hubungan tersebut.

Ini sekaligus menafikan dakwaaan sesetengah orang yang beranggapan kahwin muda akan menjadi punca penceraian awal! Bahkan orang yang lebih matang yang telah berkahwin lama akan tetapi jahil tentang agama akan lebih merosakkan institusi kekeluargaannya.
Telah disebut di dalam Al-Quran bahawa Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu terdapat contoh teladan yang baik bagi kamu (iaitu) bagi orang yang sentiasa mengharapkan (rahmat) Allah dan (takut akan azab) hari Kiamat dan banyak mengingati Allah..."
(Surah al-Ahzab ayat 21)

Allah SWT telah menyuruh kita agar mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW juga turut menekankan betapa pentingnya menuruti sunnah baginda sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

"Siapa yang benci dengan cara hidup (sunnah)-ku maka dia tidak termasuk golonganku."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua dalil di atas secara tidak langsung berkait rapat dengan isu yang sedang dibincangkan ini. Ini kerana kahwin juga merupakan satu tuntutan agama yang sangat besar. 


KEPENTINGAN PERKAHWINAN SERTA KELEBIHAN KAHWIN AWAL

Kita mendengar ada yang beralasan: "Kahwin bukan semata-mata seksual!"
Kepada mereka ini dikatakan, benar memang ia bukan semata-mata seks, akan tetapi seks menjadi salah satu sebab dan intipati terbesar di dalam suatu perkahwinan. Bahkan kita juga boleh mengatakan di antara faktor perkahwinan yang berjaya adalah apabila kedua pasangan suami isteri mempunyai hubungan seksual yang harmoni.













Di antara hikmah serta kepentingan kahwin awal yang disebutkan di dalam hadis Rasulullah SAW. Baginda bersabda yang bermaksud:

"Hai para pemuda! Sesiapa di antara kamu yang sanggup memikul tanggungjawab berumah tangga, maka kahwinlah! Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan mata dan kemaluan (dari dosa). Siapa yang belum sanggup, hendaklah dia puasa, kerana puasa itu dapat menundukkan nafsu berahi."
(Riwayat Sahih Muslim)

Hadith pertama ini dengan jelas menyebut perkahwinan itu dapat menundukkan mata dan kemaluan dari dosa. Para ibu bapa yang menghalangi anaknya yang sudah bersedia untuk berkahwin hanyalah membuatkan anaknya berisiko untuk melakukan zina dan maksiat.

1). "Dari Umar al Khattab r.a., sesungguhnya telah berkata: "Kahwinkanlah anak-anak kamu apabila sampai baligh, janganlah kamu menanggung dosa-dosa mereka."
(Disebut oleh Ibnu Jauzi dalam Ahkam an Nisa)

2). "Dari Jabir r.a. katanya: "Rasulullah SAW pernah terlihat kepada seorang wanita, lalu baginda segera mendatangi isteri beliau Zainab yang sedang menyamak kulit, guna melepaskan rindunya. Sesudah itu baginda pergi menemui para sahabatnya, lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya wanita itu datang dan pergi bagaikan syaitan. Maka bila kamu terlihat kepada wanita, datangilah isterimu, kerana yang demikian itu dapat mententeramkan gelojak hatimu."
(Riwayat Sahih Muslim)

Hadith kedua ini pula membicarakan tentang fitrah manusia iaitu seorang lelaki yang apabila terlihat seorang wanita memungkin teransang nafsunya. Maka dia disarankan agar terus mendatangi isterinya. Di sini lah keindahan Islam, kerana Islam itu menyempurnakan fitrah. Bukanlah seperti pendapat sebilangan orang masa kini yang sentiasa berdalih menafikan naluri seksualnya sedangkan hatinya berkata sebaliknya. Kerana inilah juga digalakkan untuk berkahwin kerana jika tidak berkahwin, jalan bagaimanakah lagi untuk mententeramkan hati lelaki?

3). "Apabila seorang isteri tidur memisah dari ranjang suaminya, maka si isteri itu dikutuk malaikat sampai pagi."
(Riwayat Imam Muslim)

4). "Demi Allah yang jiwaku di tanganNya, apabila seorang  lelaki memanggil isterinya tidur ke ranjang, tetapi si isteri enggan, maka penduduk langit marah kepadanya sampai suaminya memaafkannya"
(Hadis Sahih Muslim No. 1372 Jilid 3)

Hadith no. 3 dan 4 di atas menunjukkan bagaimana pentingnya kewajipan seorang isteri terhadap suaminya. Ini sekali lagi bukti bagaimana Islam itu mendidik umatnya dengan menyempurnakan fitrahnya sebagai seorang manusia. Apakah kita masih mahu berdolak dalik lagi mengenai bagaimana pentingnya hubungan seksual di dalam suatu perkahwinan?

ZINA DAN MASYARAKAT

Sebilangan masyarakat yang mengutamakan adat dan tradisi dilihat meletakkan garis tertentu yang perlu dicapai oleh anak-anak mereka sebelum dibenarkan untuk mendirikan rumah tangga. Hasilnya kita melihat semakin lama semakin sukarnya untuk berkahwin serta umur berkahwin pada masa kini semakin lewat berbanding pada masa lampau.

Rata-rata beralasan agar ia tidak menyusahkan anak-anak mereka kelak. Golongan sebegini melihat kemudaratan pada masa hadapan sebagai satu musibah akan tetapi mereka masih boleh menerima pada masa ini jika anak mereka bercinta, keluar berdating dengan pasangannya, berpegangan tangan atau lebih dahsyat lagi jika anaknya sudah menjejaki ke lembah penzinaan. Kemungkaran sebeginilah sebenarnya satu musibah yang perlu dibendung terlebih dahulu. Soal rezekinya di masa hadapan serahkan kepada Allah SWT. Bahkan kita dianjurkan agar bantu-membantu dan bukanlah bermaksud lepas kahwin,
"kau punya pasal. Jangan cari mak bapak dah!" dibudayakan. Konsep ini lah sebenarnya konsep yang salah.

Mungkin juga adanya ibu bapa yang mengatakan, "nak bercinta pun kami tak bagi!". Ketahuilah menghalangi diri anaknya untuk bercinta suatu benda yang boleh dikawalnya akan tetapi menghalangi hati anaknya yang mencintai seseorang bukanlah di dalam kawalannya. Perkara ini apabila ia sudah melarat boleh mengakibatkan perkara yang lebih dahsyat. Sebaiknya, rasa cinta anaknya itu diberi panduan sebaiknya agar ia tidak tersesat jalan serta terpedaya dengan tipu daya dunia dan syaitan.


Satu lagi hadith Nabi SAW yang bermaksud:
"Dari Ali r.a., sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda kepadanya: "..3 perkara jangan engkau tangguhkan, solat apabila tiba waktunya, mayat apabila telah sampai, bujang apabila ditemukan sekufunya"
(Riwayat at-Tirmizi)

Ramai orang yang telah membincangkan halangan-halangan yang dihadapi oleh anak remaja yang ingin mendirikan rumah tangga. Rata-ratanya adalah kerana terlalu menjaga status keluarga yang menganggap jika kahwin awal akan menyebabkan tercemarnya maruah keluarga kerana anak tersebut mungkin dianggap telah rosak atau sebagainya. Akan tetapi, ingatlah jangan kerana terlalu menjaga perkara ini sehinggakan tanpa disedari anak-anak ini sudah pun melakukan kemaksiatan.



















Adanya satu kajian yang dijalankan oleh sekumpulan pelajar dan pensyarah yang membuat survey aktiviti seksual di kalangan pelajar sekolah dan lokasinya adalah di sebuah negeri di Malaysia. Dan usah terkejut kerana kebanyakan yang mengakui sudah melakukan seks mengatakan mereka telah melakukannya sejak usia 15 tahun. Bahkan ada yang lebih awal lagi iaitu seawal 12-13 tahun. Bukankah ini suatu keadaan yang sangat menakutkan?

Buat para ibu bapa, saya tidak mahu membuatkan anda berasa curiga dengan anak anda. Akan tetapi permasalahan ini wajar diberi perhatian oleh ibu bapa. Komunikasi, keprihatinan serta hubungan yang baik dapat membantu hubungan anak dan ibu bapanya. Didikan agama seawal yang mungkin haruslah diterapkan kepada anak-anak dan kahwinkan lah segera apabila telah mencapai usianya agar mereka terhindar dari fitnah dunia.






3 comments:

  1. Tentu harus dibarengi dengan niat yang baik, karena banyak yang kahwin awal tapi karena kecelakaan.

    ReplyDelete
  2. Akakkkk, bila nak update yang terbaru? Hehe..

    oh ya, don't forget to vist me here :) http://sachinosekai.blogspot.com/2015/05/destinasi-idaman-dan-impianku.html

    ReplyDelete